Saturday, 10 April 2010

Rasuah merosakkan bangsa




Tempat: Surau Al-Ikhwan, Puncak Perdana
Tajuk Khutbah: Rasuah
Tarikh: 9/4/2010

Rasuah ketika ini merupakan barah yang sedang mengancam kehidupan umat islam. Rasuah bagai tidak boleh lari dari kehidupan umat islam ketika ini terutama di Malaysia. Ia bagaikan telah menjadi darah daging yang sering diratah rakus oleh kebanyakkan rakyat di Malaysia. Rasuah dikatakan sering berlaku di dalam parti politik, dan di dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

Dari perspektif hukum Islam, rasuah adalah haram. Ini berdasarkan ayat 188, dari surah Al-Baqarah yang bermaksud :

" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui"


manakala dari sumber hadis yang menyatakan rasuah itu haram adalah yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka". (Riwayat At-Tabrani)

maka begitulah sebahagian sumber yang sahih yang menyatakan bahawa rasuah itu haram hukumnya.

Berdasarkan sumber SPRM, sebanyak 500 tangkapan telah dilakukan pada tahun 2009, ini telah menunjukkan bahawa rasuah masih lagi berleluasa di Malaysia, malah telah menjadi wabak yang akan merosakkan bangsa Malaysia, terutama umat Islam. Boleh dikatakan bahawa, semakin besar pangkat, semakin senang merompak, tapi semakin susah untuk ditangkap.

persoalan yang perlu kita usulkan pada diri dan masyarakat untuk ditanya, " Mengapakan rasuah kerap berlaku dalam masyarakat kini?...". Antara punca-punca yang membawa kepada rasuah adalah kerana bernafsu besar, tamak haloba, ingin cepat kaya. Sama ada sedar atau pun tidak, akibat buruk amalan rasuah dalam kalangan masyarakat akan membawa kepada pembahagian harta keuntungan hanya berlegar kepada orang-orang yang tertentu sahaja, yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin sengsara. Amalan rasuah juga akan menyebabkan ibadat yang dilakukan akan tertolak akan pahalanya, alangkah rugi mereka yang mengamalkan rasuah.

Semakin hari, semakin ramai rakyat Malaysia yang celik huruf, dan celik akal, maka oleh itu, diseru agar orang ramai menangani rasuah secara berterusan, dan ia selaras dengan hukum syarak, yang mengharamkan amalam rasuah didalam kehidupan seharian.

Dengan menerima rasuah, penerima tersebut telah memungkiri hukum Allah, selain itu, penerima rasuah tersebut juga merupakan pengkhianat rakyat dan dengan mengamalkan rasuah, integriti kehakiman juga akan terhakis.

Dengan menolak rasuah, ia secara tidak langsung akan menjamin nasab keturunan, selain meningkatkan integriti didalam pengurusan, selain meningkatkan keyakinan terhadap agama islam dengan membuktikan amalan solat, memberi zakat, dapat mencegah daripada terlibat dengan najis rasuah

Kesimpulannya,marilah kembali menghayati firman Allah swt didalam ayat 104, surah Ali 'Imran, yang bermaksud:

" Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah dari munkar, merekalah orang-orang yang beruntung"

#nota: alhamdulillah, semoga coretan berkaitan dengan khutbah yang saya telah hadiri ini dapat memberi kesedaran kepada kita akan keburukan rasuah dalam kehidupan seharian kita....

Wednesday, 7 April 2010

islam itu sempurna


"Gambar diatas merupakan hiasan"

Muhammad s.a.w merupakan nabi dan rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah kepada umat manusia. Kedatangan Islam ke bumi Allah telah memberikan rahmat ke seluruh alam dan Islam yang kita anuti ketika ini bermula dari bumi Arab. Orang Arab ketika itu dikatakan telah menempah Neraka Allah dengan amalan-amalan jahiliyah mereka. Kisah kejahilan mereka telah dicatatkan Allah s.w.t didalam surah Ali 'Imran, ayat 103, yang bermaksud:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk"

dikatakan ketika zaman jahiliyah orang Arab, mereka ini kasar, susah untuk bekerjasama, dan mereka suka bermusuhan hinggakan sering berlakunya perang saudara dan mengakibatkan ramai yang mati....namun, syukur pada Allah, dengan hadirnya Islam ke dunia Arab, segala-galanya berubah, hinggakan dikatakan perhubungan sesama orang Arab lebih rapat dari pehubungan sesama saudara sendiri dan itulah kuasa Islam, agama yang sempurna...

dan Allah telah memberi peringatan di dalam surah Ali 'imran, ayat 85, yang bermaksud:

"“Barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat dia termasuk orang-orang yang rugi .”

maka begitulah sedikit sebanyak input yang ana dapat sampaikan kepada sahabat-sahabat sekalian, moga perkongsian ilmu ini dapat digunakan untuk meneguhkan kepercayaan kita kepada agama yang kita sayangi ini, dan ingatlah....jadikan islam yang kita anuti ini, adalah islam yang kita yakini akan kebenarannya, bukan kita anuti kerana ia warisan dari ibu dan bapa kita, dan bukan juga kita anuti kerana kita berada didalam kelompok orang-orang islam....:)

26/3/2010
surau seksyen 7, shah alam


salam pengenalan...

salam, moga dengan usaha yang sedikit ini, dapat membawa kita selangkah mendekati Allah....